GEORGE TOWN, 17 Okt : Seramai 22 individu termasuk enam masih di bawah umur yang sedang leka menyertai parti liar di sebuah banglo di Batu Ferringhi di sini tergamam apabila diserbu polis Khamis lalu.
Pada operasi kira-kira pukul 1.40 pagi itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki dan lapan wanita berusia antara 16 hingga 21 tahun termasuk seorang yang masih bersekolah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Soffian Santong berkata, parti itu dianjurkan oleh salah seorang daripada peserta iaitu lelaki berusia 19 tahun yang menyewa banglo terbabit pada kadar RM1,000 sehari.
“Kesemua pengunjung menerima jemputan tertutup menerusi aplikasi WhatsApp dengan bayaran dikenakan antara RM80 hingga RM100 seorang.
“Bagaimanapun, pengunjung perempuan tidak perlu membayar untuk menyertai parti itu,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.
Beliau berkata, polis merampas 0.9 gram dadah jenis ketamin bernilai RM150 dan tiga biji pil ekstasi bernilai RM45 pada serbuan berkenaan, manakala enam daripada peserta turut didapati positif dadah.
“Kesemua tangkapan telah diserahkan kepada Unit Agama dan Kaunseling, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Timur laut bagi sesi kaunseling dan ceramah.
“Mereka turut direman enam hari sehingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. – TVS