TAPAH, 16 Okt: Majikan perlu memberikan kelonggaran atau cuti kepada pekerja jika hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jatuh pada hari bekerja, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata ini kerana adalah menjadi hak setiap warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk keluar mengundi dan menunaikan kewajipan mereka.
“Majikan perlu akur pada arahan kerajaan. Mereka perlu benarkan pekerja keluar mengundi. Sama ada dengan cuti peristiwa, cuti ganti atau cuti beberapa jam,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Deepavali di sini hari ini.
Beliau berkata mana-mana majikan yang gagal berbuat demikian akan diambil tindakan mengikut peraturan-peraturan tertentu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada 20 Okt ini bagi memuktamadkan tarikh penamaan calon dan pengundian selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Okt. -TVS