KUALA LUMPUR, 15 Okt : Anak Sarawak yang sedang menuntut dan bekerja di Semenanjung Malaysia diharap akan pulang dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri kelak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, pelbagai jurusan yang sedang dipelajari mereka khususnya biokimia boleh membantu untuk menarik minat pelabur ke Sarawak.
Kata beliau, Sarawak ketika ini telah meneroka sektor hidrogren dan tenaga boleh diperbaharui yang akan memacu pertumbuhan ekonominya ke arah mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030.
“Ini bermakna peluang pekerjaan untuk anak Sarawak dalam jurusan berkaitan dengan teknologi dan biokimia akan dikehendaki, ini seterusnya dapat mengubah ekonomi kita.
“Saya percaya selain sumber tenaga boleh diperbaharui, tenaga kerja juga boleh dilatih.
“Sebaik sahaja pulang ke Bumi Kenyalang nanti, mereka boleh bekerjasama untuk membangunkan Sarawak dalam ekonomi baharu,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi townhall sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Terdahulu Abang Johari berkata, penerokaan tenaga boleh diperbaharui dapat memberi kelebihan kepada Sarawak untuk menarik minat pelabur asing berbanding negara lain di rantau ini.
“Syarikat gergasi seperti Pertama Ferroalloys, iaitu sebuah syarikat pelebur feroaloi dan ferosilikon turut bersetuju untuk memulakan operasinya di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu dengan jumlah pelaburan USD600 juta,”katanya. -TVS