KUCHING, 15 Okt : Sebanyak 60 keluarga menerima bantuan sempena Majlis Sumbangan Amal Deepavali 2022 anjuran Persatuan India Kuching (IAK), hari ini.
Bagi seorang pekerja swasta, Puspa Devi, 63, dia meluahkan rasa syukur dengan sumbangan yang diberikan kepadanya.
“Saya rasa gembira kerana mendapat bantuan untuk perayaan Deepavali tahun ini.
“Hilanglah sedikit kesedihan kerana suami baharu meninggal dunia,” katanya.
Bagi Rani Rajamanikan, 51, yang merupakan seorang ibu tunggal pula, dia juga amat bersyukur kerana ada pihak yang ambil peduli.
“Barangan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesusahan saya.
“Sebenarnya persatuan ini memberikan sumbangan menjelang Deepavali pada setiap tahun,”katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang yang turut hadir berkata, semangat perpaduan dan kerjasama yang diamalkan membolehkan rakyat di Sarawak hidup dalam suasana aman dan sejahtera.
“Inilah keistimewaan kita di sini walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya.
“Secara realitinya, kita telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa perpaduan dalam kepelbagaian adalah kunci kejayaan,” katanya.
Pada majlis itu, para penerima diserahkan barangan seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandum dan bantuan wang tunai. -TVS