https://youtu.be/iQ1Fg_Ka7bQ
KUCHING, 15 Okt: Ahli Majlis Tertinggi, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Len Talif Salleh yakin rakyat cukup kenal DNA atau karakter Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang boleh dipercayai dari aspek pelaksanaan pembangunan.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata rakyat juga tahu parti mana yang dapat memberi perkhidmatan terbaik terutama ketika menempuh cabaran pada era pasca pandemik COVID-19.
“Kita (GPS) akan menghasilkan manifesto yang boleh dilaksanakan, yang dapat kita tunaikan. Jadi kita tidak (memberi) gula-gula ketika pilihan raya, tetapi manifesto yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Len Talif yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar berkata demikian ketika pada majlis perasmian Hari Burung Hijrah Sedunia 2022 di sini, hari ini.
Mengenai persediaan GPS bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau berkata jentera parti sentiasa bersedia memberi khidmat kepada masyarakat.
“Itu bermakna kita tidak ada masalah memberi perkhidmatan kepada rakyat. Dengan pembubaran Parlimen ini memang kita akan memperkukuhkan lagi Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan jentera parti,” katanya. – TVS