KUCHING, 15 Okt: Pertanian pintar dijangka akan lebih berkembang di Sarawak dengan pembangunan dan penggunaan Internet of Things (IoT).
Pengerusi Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) Sarawak, Dato Sri Victor Hii Lu Thian berkata selain itu, kerajaan Sarawak begitu komited menggalakkan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian moden.
Malah, ia juga bertepatan dengan seruan kerajaan negeri ke arah amalan teknologi hijau dan negeri maju menjelang tahun 2030.
“Saya percaya pertanian pintar adalah masa depan Sarawak. Rakyat Sarawak melebihi 2.8 juta dan kita mempunyai tanah yang luas dan berpeluang untuk membangunkan tanaman pintar,” katanya berucap merasmikan Hari Inovasi dan Produktiviti sempena Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2022 di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia Wilayah Sarawak Nor Hafizah Mohd Arop, Pengerusi Negeri, Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Dato Norhyati Ismail dan Pengarah Perdagangan Antarabangsa dan Industri Sarawak Griffith Jones Goba.
Katanya selain itu, pembangunan inovasi dijalankan MPC melalui program Penilaian Kesediaan dilihat mampu membantu golongan peniaga dalam merancang strategi dan beralih ke industri 4.0.
“Bagi membantu sektor perusahaan beralih ke arah digital dengan pantas, program MCP bersama Nexus Productivity Digital iaitu ‘Go B.I.G with Digital’ diadakan bagi memberikan perundingan berkaitan penggunaan teknologi digital yang diperlukan,” katanya. – TVS