KUALA LUMPUR, 14 Okt : Pahang dan Perlis merupakan dua negeri terawal yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing selepas pembubaran Parlimen ke-14, Isnin lepas.
Pembubaran kedua-dua DUN berkenaan bagi penggal ke-14 itu berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Pahang menjadi negeri pertama yang mengumumkan pembubaran DUN dalam sidang media khas Menteri Besarnya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini setelah diperkenankan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaras Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.
Keputusan negeri itu untuk “turut serta” dengan PRU15, menurut Wan Rosdy adalah berlandaskan beberapa keperluan terutama bagi mengelak proses dan musim pilihan raya yang berulang dalam tempoh singkat.
Beliau berkata pilihan raya yang dijalankan secara serentak berupaya menjimatkan kos dalam pelbagai aspek seperti pengurusan dan pengendalian malah permulaan dan pengakhiran penggal yang selari antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan melancarkan pelbagai urusan pentadbiran.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 pada 10 Okt lepas setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15.
Menurut Perdana Menteri, ia bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.
Susulan pembubaran Parlimen Ke-14, Ismail Sabri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor agar mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN masing-masing, bagi membolehkan pilihan raya negeri dan Parlimen diadakan serentak.
Mengambil isyarat syor berkenaan ialah Perlis apabila Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man mengumumkan pembubaran DUN berkenaan hari ini selepas diperkenankan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam sesi menghadap di Galeri Diraja Arau, semalam.
Bagi Perak pula, Menteri Besarnya Datuk Seri Saarani Mohamad telah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Rabu lepas bagi mempersembahkan permohonan pembubaran DUN.
Sementara itu, PAS yang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah, mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN di ketiga-tiga negeri berkenaan selepas perkara itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, semalam.
Bagi Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH), mereka masih terikat dengan ketetapan Majlis Presiden PH sebelum ini yang memutuskan bahawa ketiga-tiga negeri tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dilaporkan mahu DUN Pulau Pinang dibubarkan agar pilihan raya negeri berjalan serentak dengan PRU15.
Walaupun terdapat beberapa negeri enggan membubarkan DUN masing-masing, Ismail Sabri dilaporkan berkata PRU15 tetap diteruskan. -TVS