JAKARTA, 14 Okt : Polis Indonesia mengesahkan penahanan Apon BK yang disyaki ketua sindiket judi dalam talian terbesar di negara ini dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit berkata, suspek ditahan di Malaysia dan ketika ini dalam rundingan untuk dibawa ke Jakarta untuk siasatan lanjut seterusnya.
“Suspek bersembunyi di Singapura dan kemudiannya lari ke Malaysia. Bagaimanapun dengan kerjasama PDRM, suspek berjaya ditahan,”katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya, penahanan suspek berkenaan dijangka akan memudahkan usaha untuk mengekang kegiatan judi dalam talian yang besar di Indonesia yang mempunyai kaitan dengan rangkaian antarabangsa.
Pada Ogos lepas, seramai 15 anggota sindiket berkenaan yang bekerja di premis milik suspek di Pekanbaru, Riau ditahan dalam suatu serbuan.
Bagaimanapun Apon BK berjaya meloloskan diri dan lari ke luar negara. -TVS