KUCHING, 13 Okt : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU1-5) yang diramalkan akan berlangsung ketika musim tengkujuh.
Pengarahnya, Datu Khirudin Drahman berkata, JBPM Sarawak ketika ini berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi memastikan keselamatan masyarakat terus dijaga.
“Oleh itu, rakyat tidak perlu khuatir untuk turun mengundi kerana agensi terlibat akan melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Malaysia Decides terbitan TVS di sini hari ini.
Sementara itu, Khirudin juga menasihatkan rakyat agar mendapatkan maklumat yang disahkan oleh agensi kerajaan berhubung sesuatu bencana yang berlaku.
Katanya, ini kerana pegawai kerajaan tidak akan berkongsi maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik di kalangan rakyat.
Sementara itu, Khirudin berkata, JBPM Sarawak juga akan sentiasa mengemaskini maklumat terbaharu berkaitan banjir di platform media sosialnya kerana capaian yang lebih cepat.
“Di Sarawak, jika kita hendak bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk program kesedaran atau berkongsi maklumat, ianya memakan masa kerana faktor geografinya yang luas.
“Sehubungan itu dengan menggunakan kemudahan internet, maklumat mudah disebarkan sekaligus membantu rakyat di kawasan terjejas membuat persiapan atau menyelamatkan diri,”katanya. -TVS