IPOH, 13 Okt : Mayat seorang wanita yang sudah mereput yang ditemukan berdekatan lokasi kemalangan jalan raya di Jalan Besar Tambun semalam disahkan meninggal dunia akibat dicekik.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pengesahan itu diperolehi selepas bedah siasat yang dilakukan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun selesai pukul 7 petang semalam.
Sehubungan itu katanya polis menklasifikasikan semula kejadian itu sebagai kes bunuh.
“Identiti mangsa dipercayai seorang perempuan berketurunan India berusia 23 tahun berdasarkan lambang tatu pada lengan dan jari tangan.
“Telefon bimbit yang dijumpai di tempat kejadian juga disahkan milik mangsa,” katanya menerusi kenyataan media semalam.
Terdahulu, TVS melaporkan sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan siasatan di lokasi kemalangan membabitkan sebuah kereta di Jalan Besar Tambun terkejut apabila menjumpai mayat yang sudah reput.
Mayat yang lengkap berpakaian dan tiada kesan kecederaan itu ditemukan di dalam kawasan semak kira-kira dua meter dari kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang terbabas.
Sementara itu, Mohd. Yusri turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhuhung kejadian berkenaan untuk menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – TVS