SIBU, 13 Okt : Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sudah mengenal pasti calon-calon berpotensi bagi bertanding mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di tujuh kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata calon berpotensi itu dicadangkan oleh cawangan SUPP dan akan diputuskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
SUPP akan bertanding di semua kerusi tradisi mereka iaitu Parlimen Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri, katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Universiti Teknologi Malaysia (UTS) Smart Home and UTS Smart Home Book di sini pada Rabu.
Dr Sim yang juga Timbalan Premier Sarawak turut mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya enam muka baharu akan diketengahkan pada PRU-15.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama-nama calon berpotensi. – TVS