KOTA BHARU, 13 Okt: Penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah diingatkan supaya memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan liputan Internet di pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) adalah baik.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu perlu supaya SPR dapat melaksanakan tugas dengan baik, selain memastikan pelaporan berita dari lokasi terbabit berjalan lancar.
“Kita telah minta supaya penyedia perkhidmatan telekomunikasi membuat semakan mengenai tahap dan kapasiti Internet terutama sekali di pusat penjumlahan undi.
“Ini supaya pelaporan oleh agensi berita, saluran media dan sebagainya dapat dibuat tanpa terhalang tetapi lebih penting lagi supaya kerja-kerja SPR dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan sesi pengagihan peranti siswa kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata berdasarkan pengalaman lepas dalam tempoh pilihan raya penggunaan Internet di satu-satu lokasi, pastinya akan meningkat.
“Daripada pengalaman lepas, berlaku kesesakan talian kerana tahap penggunaan yang tinggi dalam masa serentak terutama pada hari mengundi. Perkara itu sedang diteliti dan di mana perlu, kita akan naik taraf.
“Namun begitu, kualiti di kawasan-kawasan mengundi ketika ini adalah lebih baik sejajar pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang telah meningkatkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih lebih 40 Megabit sesaat (Mbps) melebihi sasaran 35 Mbps,” katanya. -TVS