KOTA SAMARAHAN, 13 Okt: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) adalah universiti pertama membangunkan aplikasi sokongan kesihatan mental kepada para pelajarnya.
Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, UNIMAS bekerjasama dengan PlusVibes dalam membangunkan aplikasi itu yang bakal dimanfaatkan oleh lebih 14,000 pelajar di kampus.
“UNIMAS bekerjasama dengan PlusVibes bertujuan untuk mengenal pasti masalah ini dalam kalangan pelajar tanpa perlu mendedahkan nama mereka dan tanpa bersemuka.
“Objektif ini dapat dicapai melalui penggunaan aplikasi mudah alih kesihatan mental oleh PlusVibes melalui analisis, data, kempen dan seminar,” ujarnya pada Majlis Penutupan Simposium Kebangsaan Kesejahteraan Psikologi 2022 di UNIMAS di sini pada Rabu.
“Apabila seseorang individu tersebut menghadapi tekanan mental, mereka memerlukan sokongan emosi yang segera untuk mengelakkan pemikirannya terganggu,” katanya. – TVS