KUCHING, 13 Okt: Beberapa projek pembinaan infrastruktur sukan di Sarawak lewat siap berbanding jadual sebenar ekoran kekurangan pekerja, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu.
Tanpa menyatakan jumlah projek lewat, beliau berkata faktor penularan wabak COVID-19 dalam tempoh dua tahun yang lepas dan kenaikan harga bahan binaan meningkat turut menjadi penyebab kelewatan.
“Ia (projek) tidak terbengkalai tetapi tertangguh disebabkan pekerja asing tidak dapat masuk (satu ketika dahulu),” katanya pada sidang media sempena Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2022 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Gerald turut memaklumkan akan berlakunya pertukaran jurulatih bagi beberapa acara sukan yang akan diputuskan pihaknya dalam masa terdekat.
“Kita melihat daripada ‘post mortem’ dan memang ada, saya akui memang ada pertukaran yang akan dibuat,” katanya.
Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian terhadap prestasi atlet dalam setiap acara yang disertai pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2022 akan berlangsung bermula 22 hingga 26 November depan dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000.00.
Kejohanan itu dianjurkan Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Setakat 12 Oktober, 450 penyertaan telah diterima yang turut melibatkan peserta dari luar negara, antaranya dari United Kingdom, Singapura, Australia, Ireland, Guam Dan Thailand. – TVS