LIMBANG, 12 Okt : Penduduk di sini dan Lawas dinasihatkan sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir berikutan cuaca hujan pada sebelah petang ketika ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penduduk khususnya di kawasan kerap dilanda banjir juga disaran mematuhi arahan semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang (JPBBL) berkata, pihaknya sudah bersedia untuk berdepan kemungkinan banjir.
“Ini termasuk menyediakan keperluan logistik, bantuan makanan dan kemudahan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir program Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama rakyat dan Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar di Dewan Bunga Raya di sini semalam.
Abdul Rahman berkata, ketika ini sudah ditubuhkan jawatankuasa bencana peringkat dearah dan bahagian yang sentiasa bersiapsiaga sepanjang masa.
“Kita juga telah menyiapkan pelbagai keperluan seperti bot dan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini untuk menghadapi apa sahaja situasi,” katanya.
Menurut beliau, di Limbang, kemungkinan banjir diramalkan berlaku pada penghujung November dan Disember. – TVS