IGAN, 12 Okt : Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuka ruang kepada rakyat untuk memilih kerajaan Persekutuan baharu yang diharapkan stabil.
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata kerajaan yang stabil akan memberi tumpuan penuh terhadap pembangunan negara.
“Saya berharap selepas pilihan raya ini nanti akan wujud kerajaan yang stabil demi kemakmuran negara kerana kemajuan sesebuah negara itu amat bergantung dengan kestabilan politik.
“Apabila berlaku pertukaran kerajaan yang terlalu kerap terutama di negara membangun seperti Malaysia kesannya ekonomi kita akan terbantut, pembangunan akan tergendala,” katanya ketika diminta mengulas mengenai PRU-15 pada Selasa.
Menurutnya, selepas PRU-14 pada 2018 politik negara dilanda pelbagai krisis termasuk menyaksikan pertukaran Perdana Menteri tiga kali.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata ketidakstabilan politik negara merupakan antara penyebab keyakinan pelabur merudum.
Mengenai persiapan pilihan raya, Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata jentera parti kawasannya sentiasa bersedia demi kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Jentera kita sentiasa bersiap sedia terutama selepas pilihan raya negeri yang lalu. Alhamdulillah di kawasan DUN Jemoreng, GPS telah bertambah majoriti undi berbanding pilihan raya sebelumnya.
“Kami amat optimis di kawasan DUN Jemoreng akan mendapat kemenangan yang besar Insya-Allah,” katanya. -TVS