KUCHING, 11 Okt : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meramalkan Parlimen Puncak Borneo akan menjadi ‘kerusi panas’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Naib Presidennya, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, ini kerana kawasan itu yang memiliki pengundi majoriti kaum Bidayuh itu pernah menjadi kubu kuat PBB.
“Saya jangkakan sengit kerana pada 2018 kerusi itu berjaya dirampas oleh Datuk Willie Mongin yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR),”katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Asia mengenai Bakteria Asid Laktik Ke-12 (ACLAB12) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Sementara itu ditanya mengenai calon yang akan ditampilkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi itu pada PRU-15 ini, Roland Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata, berkemungkinan besar tidak ada perubahan di situ.
“Selama ini kawasan itu merupakan kerusi tradisi yang ditandingi oleh calon PBB.
“Ini penting untuk merampas semula kerusi berkenaan,” katanya.
Baca artikel berkaitan >>>>> Ramalan cuaca buruk tidak jejaskan pengundi Serian tunai tanggungjawab
Pada PRU-14, Willie menang di Puncak Borneo namun meninggalkan PKR pada Mac 2020.
Beliau kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan diterima sebagai ahli PBB pada Ogos lepas.
Di bawah Parlimen Puncak Borneo, terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Mambong, Tarat dan Serembu kesemuanya dikuasai PBB – GPS. – TVS