KUCHING, 11 Okt : Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum menawarkan diri untuk bertanding mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) ini.
Kata bekas Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan itu, hasrat berkenaan disuarakan berdasarkan maklum balas di peringkat akar umbi.
“Apa yang saya boleh katakan ialah pemintaan pengundi di Julau menunjukkan mereka mahukan saya bertanding,”katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Joseph Salang merupakan penyandang kerusi berkenaan selama empat penggal sejak PRU-10.
Pada PRU-13, beliau menang kerusi berkenaan dengan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Andy Wong dan calon Parti Pekerja Sarawak, Wong Judat.
Ketika PRU-14 pada 2018 pula, kejutan berlaku di kerusi berkenaan apabila beliau tewas dengan majoriti 1,931 kepada Larry Sng yang bertanding atas tiket bebas.
Larry kemudian menyertai PKR dan kini merupakan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Sementara itu ditanya mengenai peluang beliau untuk membuat kemunculan semula dan membantu GPS merampas kembali kerusi berkenaan, Joseph Salang berkata, segala keputusan akhir terserah kepada pemimpin tertinggi gabungan itu.
“Saya serahkan perkara ini kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membuat keputusan,”katanya. -TVS