KUALA LUMPUR, 11 Okt : Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika ini ‘statusnya’ hanya calon wakil rakyat sahaja.
“Kita tidak tentukan siapa yang akan jadi Perdana Menteri kerana calon itu (Perdana Menteri) hanya relevan kalau kita menang sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Pada PRU-14, Dr Mahathir yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan menang kerusi itu dengan majoriti 8,893 undi.
Beliau menerima 18,954 undi sekaligus menewaskan wakil Barisan Nasional (BN), Dato Ir Nawawi Ahmad dan calon Pas, Zubir Ahmad.
Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, beliau akan bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) kerana pendaftaran GTA belum diluluskan. -TVS