MIRI, 9 Okt: Permohonan Dokumen Sementara Bagi Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) akan dibuka mulai 1 November depan, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak berkata, ini susulan keputusan Kerajaan Sarawak pada 28 April lepas yang bersetuju untuk mengeluarkan dokumen berkenaan,
Kata beliau, ini bagi membolehkan individu tanpa kewarganegaraan mendapat akses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan negeri.
“Mereka yang layak memohon ialah individu yang dilahirkan di Sarawak dengan salah seorang daripada ibu atau bapa kandung merupakan warganegara yang bermastautin di negeri ini.
“Selain itu mereka perlu memiliki sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak serta berstatus warganegara belum ditentukan dan sudah memohon kewarganegaraan Malaysia menurut Perkara 15A, Perlembagaan Malaysia dan berumur 21 tahun ke bawah,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Simulasi Permohonan dan Perlaksanaan (DSITKS) di sini kelmarin.
Fatimah berkata, sesi taklimat proses pengeluaran DSITKS juga telah diadakan di semua pejabat daerah dan agensi-agensi pada 19 September lepas.
“Bagi permohonan DSITKS, ibu bapa atau penjaga perlu melengkapkan borang permohonan serta dokumen sokongan yang diperlukan dan dihantar ke kementerian atau pejabat daerah yang berdekatan,”katanya. -TVS