SIMUNJAN, 8 Okt : Seorang kelindan maut selepas lori membawa muatan kelapa sawit dinaikinya terbalik dalam kemalangan kendiri di Jalan Kampung Sebauh dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa, Hussein Seltan, 41, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori yang berusia 52 tahun cedera parah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dan BBP Serian dikerahkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.54 malam.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati lori berkenaan terbalik di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk hadapan.
“Pemandu lori yang masih sedarkan diri berjaya dikeluarkan pada pukul 12.45 tengah malam dan diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital,”katanya.
Katanya, pihak bomba mengalami kesukaran untuk mengeluarkan kelindan lori yang tersepit.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan menyelamat dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas KKM pada pukul 10.55 malam,”katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan (ASP) Honchin Ludu ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ ) 1987. – TVS