KUCHING, 7 Okt: Pembinaan Kompleks Hikmah yang bakal siap dalam 24 bulan lagi merupakan simbolik permulaan terhadap usaha mengukuhkan pentadbiran dakwah kepada masyarakat Islam di Sarawak terutama dalam kalangan saudara baru.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kompleks itu akan dibina bersama Sekolah Tahfiz Hikmah di atas tanah seluas 10 ekar di Petra Jaya yang diperuntukkan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak.
“Kerajaan negeri menyumbang RM35 juta untuk pembinaan kompleks ini dan Tabung Baitulmal Sarawak menyumbang RM17 juta untuk pembinaan sekolah tahfiz,“ katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kompleks Hikmah dan Sekolah Tahfiz Hikmah di sini, hari ini.
Kompleks itu akan menempatkan pejabat pentadbiran Hikmah, dewan yang boleh memuatkan 1,500 orang dalam satu masa dan kafeteria yang akan dibuka kepada orang ramai.
Bangunan itu juga akan dijadikan tempat penganjuran kursus perdana, acara rasmi kerajaan dan juga untuk masyarakat mengadakan majlis perkahwinan. – TVS