JAKARTA, 7 Okt : Pasukan petugas khas bersama polis Indonesia secara rasmi mengesahkan enam suspek dalam tragedi mengorbankan 131 nyawa di Stadium Kanjuruhan di sini pada 1 Oktober lepas.
Ketua Polis Indonesia Jeneral Sulistyo Sigit berkata mereka terdiri daripada penganjur perlawanan – Akhmad Hadian Lukita (Ketua Pengarah Liga), Abdul Haris (Ketua Penganjur) dan Suko Sutrisno serta tiga pegawai polis, Hasdarman, Wahyu SS dan Bambang Sidik.
Menurutnya, pengenalpastian suspek-suspek itu merupakan hasil siasatan sejak hari pertama peristiwa antara yang terburuk dalam sejarah bola sepak dunia.
“Berdasarkan siasatan dan bukti yang cukup telahpun didedahkan dalam permulaan ini, setakat ini kita tetapkan enam suspek yang bertanggungjawab,” katanya pada sidang media pada Khamis.
Baca artikel berkaitan:
- 1. 127 maut akibat rusuhan penyokong bola sepak di Indonesia
- 2. Liga Indonesia digantung, dua polis antara yang maut
- 3. Indonesia tubuh pasukan petugas khas siasat rusuhan bola sepak
Menurut Sigit, mereka didakwa lalai dalam menganjur dan menjaga keselamatan pada perlawanan Arema FC dan Persebaya sehingga mencetuskan rusuh.
Tiga penganjur perlawanan itu didakwa mengabaikan prosedur keselamatan standard yang sepatutnya di bawah seliaan mereka, manakala tiga pegawai polis didakwa memberi arahan menembakan gas pemedih mata kepada penyokong di dalam stadium – satu tindakan yang tidak dibenarkan oleh FIFA.
Sehingga kini pihak polis telah melakukan siasatan kepada 48 orang saksi yang daripadanya 26 pegawai polis, tiga orang penganjur perlawanan, lapan pegawai keselamatan, enam saksi yang berada di lokasi, dan lima lagi merupakan mangsa kerusuhan itu.
Pasukan pegawai khas yang dibentuk terus berupaya mengenal pasti kemungkinan suspek lain yang bertanggungjawab dan melanjutkan siasatan. – TVS