SANDAKAN, 6 Okt : Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM35 juta pada tahun ini bagi meneruskan beberapa program bantuan pendidikan.
Dalam masa yang sama, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata beberapa bentuk bantuan baharu turut diperkenalkan dalam usaha memperkasa lagi modal insan.
Katanya, ia termasuk Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Anak Negeri (BISTARI) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA).
“BISBAH adalah inisiatif bantuan terbaharu pada tahun ini yang akan memberi manfaat kepada 1,500 sekolah rendah dan menengah di Sabah dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM12 juta.
“Setiap sekolah akan menerima bantuan bernilai RM8,000 dalam bentuk peralatan komputer, mesin cetak dan alat bantu mengajar,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Penyampaian Bantuan-Bantuan Pendidikan, Zakat dan Baitulmal Tahun 2022 di Dewan Masyarakat Sandakan pada Khamis.
Menurut beliau, inisiatif bantuan seumpama ini adalah hasil keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah terhadap golongan tidak berkemampuan dalam memenuhi hasrat pembangunan negeri.
“Lebih 10 jenis bantuan telah dilulus dan diilhamkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor untuk mendukung usaha modal insan yang menjadi salah satu teras dalam hala tuju Sabah Maju Jaya,” jelasnya.
Pada majlis itu, 86 sekolah di Sandakan menerima bantuan BISBAH dengan nilai keseluruhan RM698,000 manakala 35 PIBG mendapat bantuan BAGUS yang masing-masing bernilai RM2,000. – TVS