PUTRAJAYA, 6 Okt : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ‘agenda tambahan’ termasuk berkaitan pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini jika berkesempatan.
Beliau berkata kebiasaannya pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilakukan setiap minggu, sehari sebelum mesyuarat Kabinet bagi membincangkan perihal berkaitan Kabinet.
Menurutnya, perbincangan itu mungkin mengambil masa yang panjang memandangkan banyak perkara yang akan diterangkan selain beliau menerima pesanan daripada Seri Paduka.
Baca artikel berkaitan > > > TERKINI : Ismail Sabri tiba di Istana Negara
Semasa ditemui selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini, Ismail Sabri yang ditanya sama ada tarikh pembubaran Parlimen akan dibawa pada majlis menghadap hari ini berkata: “Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet sahaja.”
Ditanya lagi sama ada terdapat agenda “tambahan atau khusus” semasa menghadap Agong, Ismail Sabri berkata: “Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain”.
Ismail Sabri dijangka menghadap Seri Paduka pada pukul 4 petang ini di Istana Negara.
Mengenai tindakan menteri Perikatan Nasional (PN) membantah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, beliau berkata mereka berhak memberikan pandangan masing-masing namun keputusannya tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri berkata pembubaran Parlimen adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh dicabar dan Seri Paduka mempunyai kuasa budi bicara sepenuhnya berdasarkan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan.
Menurut Perkara 40(2)(b) Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara dalam melaksanakan fungsi iaitu tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.
“Jadi siapa sahaja berhak beri pandangan termasuk Perdana Menteri berhak beri pandangan tetapi kuasa pemutus adalah (Yang di-Pertuan) Agong.
“Kalau mereka nak tulis surat ke atau nak buat kenyataan akhbar ke, boleh. Itu bebas tapi akhirnya keputusan oleh (Yang di-Pertuan) Agong,” kata beliau.
Dilaporkan 12 ahli Kabinet dari Bersatu dan PAS tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini kerana bimbang risiko banjir dan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian mereka.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan surat itu ditandatangani oleh semua menteri PN kerana tidak mahu PRU-15 diadakan tahun ini, manakala Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata surat bertarikh 3 Okt itu sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong semalam. – TVS