KUCHING, 6 Okt: Cadangan peruntukan seorang wakil dari setiap Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai anggota lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diluluskan oleh Kabinet Persekutuan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kelulusan pada 30 September itu membabitkan pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 [Akta 533].
Baca di sini > > > Wakil LHDN dari Sarawak telah dipilih oleh Abang Johari
“Cadangan pindaan ini akan seterusnya dibentangkan ke Parlimen untuk kelulusan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kerajaan pada 1 September 2022 telah melantik calon Kerajaan Negeri Sabah ke lembaga pengarah LHDN yang mengisi kekosongan ahli profesional dalam Lembaga LHDN.
Namun, cadangan pindaan yang dipersetujui Jemaah Menteri akan menginstitusikan wakil dari Sabah dan Sarawak di dalam lembaga pengarah LHDNM, di samping membolehkan pelantikan wakil dari kalangan penjawat awam Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, jelasnya.
Beliau berkata pindaan Akta 533 merupakan tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyusuli permohonan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kerajaan percaya pelantikan wakil-wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak adalah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan mengalu-alukan sumbangan idea dan kepakaran dari wakil Kerajaan Negeri berkaitan pentadbiran percukaian,” ujarnya.