Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Industri kewangan Islam Malaysia dijangka berkembang lebih pantas pada 2022 serta 2023 berbanding perbankan konvensional dengan pertumbuhan akan dipacu oleh segmen peruncitan, menurut Moody's Investors Service.

Moody’s jangka perbankan Islam Malaysia akan terus berkembang pada 2022, 2023

ByBernama

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Industri kewangan Islam Malaysia dijangka berkembang lebih pantas pada 2022 serta 2023 berbanding perbankan konvensional dengan pertumbuhan akan dipacu oleh segmen peruncitan, menurut Moody’s Investors Service.

Penganalisis Li Tengfu berkata pertumbuhan perbankan Islam diunjurkan berkembang 10 hingga 12 peratus tahun ini dan lapan hingga 10 peratus menjelang tahun hadapan.

Pada ketika ini, agensi penarafan kredit itu mengekalkan unjuran pertumbuhan lima hingga enam peratus serta empat hingga lima peratus masing-masing bagi sektor perbankan Malaysia pada 2022 dan 2023, katanya pada sidang meja bulat Kemas Kini Industri Kewangan Islam Moody’s Investors Service di sini semalam.

Beliau berkata pengembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), diunjurkan menyusut sedikit di bawah enam peratus bagi 2022 serta 2023, manakala harga komoditi seperti minyak dan minyak sawit mentah (MSM) akan menyumbang kepada permintaan terhadap produk serta perkhidmatan kewangan.

“Harga minyak masih berada pada paras yang agak kukuh dan pada masa sama, harga MSM masih jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum pandemik iaitu 2019 dan 2018. Pada dasarnya, keadaan ini yang telah memacu jangkaan kita,” katanya.

Beliau berkata negara pengeksport komoditi seperti Malaysia dan Indonesia juga menerima kesan pengimbangan daripada kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang agresif.

“Salah satu yang terjadi ke atas kita sekarang adalah pertumbuhan ekonomi yang sangat kukuh termasuk sudah tentu, kenaikan inflasi tetapi di Asia Pasifik seperti Malaysia dan Indonesia, kerajaan masih mempunyai kapasiti fiskal susulan manfaat daripada segi eksport komoditi yang boleh mereka gunakan bagi mengimbangi impak tersebut.

“Itulah sebabnya saya fikir di Malaysia dan Indonesia, anda melihat bahawa kenaikan kadar dasar mungkin lebih sederhana berbanding dengan apa yang berlaku di AS atau di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC),” katanya.

Penganalisis kanan Ashraf Madani berkata kenaikan kadar AS telah memberi kesan kepada terbitan Sukuk daripada korporat dan institusi kewangan, yang lebih sensitif terhadap kadar faedah yang lebih tinggi berbanding sukuk kedaulatan.

Beliau berkata ini dapat dilihat dalam angka terbitan bagi separuh pertama 2022 di GCC dan Asia Tenggara.

Menurut Ashraf lagi, aktiviti penerbitan Sukuk mungkin bertambah baik pada separuh kedua tahun ini dalam sektor korporat dan kewangan.

“Sekarang, kita mula melihat beberapa tanda kestabilan. Malah, kita sedang menyaksikan penurunan kadar jangka panjang walaupun Rizab Persekutuan meningkatkan kadar sebanyak 75 mata asas,” katanya.

Secara keseluruhan, Moody’s Investors Service mengunjurkan aktiviti terbitan Sukuk global mengukuh lagi pada separuh kedua 2022 dan mengakhiri tahun ini pada US$160-US$170 bilion (US$1=RM4.63). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan