SIBU, 5 Okt : Seorang lelaki ditemukan maut di sebuah tapak pembinaan rumah di Bukit Penyau, di sini, semalam.
Mayat mangsa yang berusia 22 tahun itu ditemui oleh seorang penyelia ketika menjalankan pemeriksaan di tapak pembinaan pada pukul 10.20 pagi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, siasatan mendapati mangsa yang merupakan pekerja di tapak pembinaan itu berada dalam keadaan terbaring.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu wayar elektrik yang bersambung dengan generator.
“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik semasa membuat penyambungan dengan soket gerudi,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut Zulkipli, siasatan pihak polis mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dalam kes berkenaan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-TVS.