KUCHING, 4 Okt: Sebanyak 18 syarikat Sarawak akan menyertai Ekspo Antarabangsa Selangor 2022 di Kuala Lumpur dari 6 hingga 9 Okt ini.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat terlibat terdiri daripada 17 syarikat makanan dan minuman serta sebuah syarikat perkhidmatan perubatan.
Menerusi ekspo itu, MINTRED berharap dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sarawak dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan tempatan di Sarawak.
“Kami juga menyasarkan untuk mendedahkan peserta kepada pelbagai prospek perniagaan dan peluang pembangunan perniagaan, selain mereka turut mendapat bimbingan daripada pakar industri untuk mengukuhkan lagi rangkaian perniagaan masing-masing.
“Kami mahu lebih banyak PKS dari Sarawak menyahut cabaran menjadi pengeksport global dengan memperjuangkan produk dan perkhidmatan kami di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
Ekspo yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu meliputi Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman yang membawa industri makanan dan minuman yang sedang berkembang pesat ke arah meningkatkan keterlihatan perniagaan dan memanfaatkan platform global terbesar.
Ia juga bertujuan untuk bertukar-tukar maklumat terkini dan idea-idea segar dalam kalangan pemain utama industri dalam program perniagaan ke perniagaan. -TVS