MIRI, 5 Okt: Beberapa jalan di bandar raya Miri akan ditutup dan dilencong sementara sempena dua acara pada 8 dan 10 Oktober ini.
Istiadat Perbarisan Rapat Raksasa Sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak pada 8 Oktober, manakala Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak pada 10 Oktober. Kedua-dua acara ini akan diadakan di Stadium Terbuka Miri.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata bagi memastikan kelancaran acara Sambutan Hari Lahir TYT, tiga jalan akan ditutup dan dilencongkan pada jam 5 pagi sehingga 12 tengah hari membabitkan Jalan Sukan, Jalan Sylvia dan Jalan Sehati.
Jalan Bintang akan dijadikan sebagai jalan sehala dan laluan masuk dari Jalan Sukan ke Jalan Bintang akan ditutup.
Jalan Merdu akan dijadikan jalan sehala dan jalan masuk dari Jalan Sylvia akan ditutup, manakala Jalan Kampung Sukan dan jalan ini akan dijadikan jalan sehala dan laluan masuk dari Jalan Sehati akan ditutup, katanya pada sidang media di sini pada Selasa (4 Oktober).
Bagi Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak, Jalan Bintang akan dijadikan jalan sehala dan akan dilencong ke Jalan Bintang Jaya 2.
Simpang Jalan Merdu sehingga ke Bulatan Kipas, Jalan Setia Raja dan Jalan Brooke, simpang masuk Jalan Permaisuri menuju Bulatan Kipas, lampu isyarat Jalan Sehati dan Jalan Sukan akan ditutup.
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di di tempat letak kenderaan dikhaskan berhampiran SK Bintang dan di Stadium Tertutup Miri.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sepanjang penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan.
Polis juga berharap semua pihak dapat memberi kerjasama serta mematuhi arahan petugas PDRM dan polis trafik bagi memastikan program ini berjalan lancar.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Miri di talian 085-433587. – TVS