GEORGE TOWN, 3 Okt : Satu sindiket pengedaran dadah menggunakan pek serbuk jus minuman tumpas selepas polis melakukan tiga serbuan di sekitar bandar raya ini pada Rabu lalu.
Pada operasi selama enam jam bermula jam 2.30 petang itu, pelbagai jenis dadah bernilai RM168,034 telah dirampas manakala empat individu, termasuk seorang wanita asing, ditahan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan bermula dengan penahanan seorang pemandu ‘e-hailing’ berusia 27 tahun bersama teman wanitanya berusia 29 tahun di sebuah kondominium di Jelutong bersama sejumlah dadah.
“Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan kedua dan polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Pengkalan Weld bersama 131 paket plastik mengandungi serbuk dadah MDMA dan satu paket plastik mengandungi dadah ketamin.
“Menerusi serbuan ketiga di Jalan Tunku Kudin 2, tujuh das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar kereta Nissan Almera yang dipandu seorang suspek sebelum polis menahannya bersama 123 biji pil ekstasi dan 10 bungkus plastik dadah ketamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Pada operasi itu, polis secara keseluruhannya merampas 3.2 kilogram dadah jenis MDMA bernilai RM157,500, 57.3 gram dadah ketamin (RM8,599), 123 biji pil ekstasi (RM1,845) dan enam biji pil Erimin 5 (RM90).
Menurut Soffian, siasatan polis mendapati sindiket yang aktif sejak Jun lalu itu memasukkan dadah berkenaan ke dalam plastik serbuk minuman untuk dijual di pusat-pusat hiburan di negeri ini.
“Dadah itu dicampur ke dalam pek jus minuman dan dijual pada harga antara RM150 hingga RM200 sebungkus.
“Sindiket menggunakan kaedah penjualan menerusi aplikasi WeChat yang popular kerana bagi mereka, kaedah ini selamat untuk menjual dadah tersebut,” katanya.
Soffian menambah, polis merampas peralatan yang digunakan untuk membungkus semula dadah, selain kenderaan dan dadah yang bernilai RM297,184 pada keseluruhannya.
Suspek direman selama seminggu hingga 7 Oktober depan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS