SIBU, 3 Okt: Hasrat seorang penjawat awam wanita untuk memiliki seutas gelang emas ‘pulut dakap’ tidak kesampaian setelah diperdayakan sindiket jual emas dalam talian semalam.
Mangsa berusia 45 tahun itu mengalami kerugian berjumlah RM12,550 selepas terpengaruh untuk membeli gelang emas itu yang ditawarkan melalui laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, mangsa telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi Whatsapp dan membuat bayaran secara ansuran sejak Januari hingga Mac tahun ini.
Katanya mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM12,550 ke satu akaun bank melalui perbankan internet dan dijanjikan barangan akan dipos ke alamat mangsa.
“Setelah mangsa selesai membuat kesemua bayaran itu, penjual telah memberi pelbagai alasan dan sehingga kini barang kemas yang ditempah belum diterimanya,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Zuklipli berkata, berikutan itu mangsa membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu pada Ahad dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penjualan barangan kemas secara dalam talian yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran.
Sebagai langkah pencegahan, katanya orang ramai juga diminta membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan juga boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 dan 03-26101599. – TVS