SIBU, 03 Okt: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), akan mengeluarkan dokumen sementara untuk anak tanpa kewarganegaraan berusia 21 tahun ke bawah.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia akan membuka peluang kepada anak-anak tersebut untuk bersekolah dan tidak lagi ketinggalan khususnya dalam aspek pendidikan dan kesihatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan boleh dilakukan bermula Disember ini dengan pemohon dikehendaki untuk mematuhi beberapa syarat, antaranya pemohon mempunyai sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak dan sudah membuat permohonan untuk status kewarganegaraan.
“Salah satu syaratnya ialah perlu ada dokumen pembuktian bahawa mereka telah memohon untuk status kewarganegaraan. Katakan di antara mereka ada yang belum memohon, jadi saya minta mereka membuat permohonan terlebih dahulu. Itu yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun ke-10 ‘Destiny for Children’ di sini, pada Ahad.
Tambah Fatimah, bagi anak-anak yang belum mendapat status kewarganegaraan, mereka terpaksa membayar yuran persekolah sebanyak RM120 setahun untuk sekolah rendah dan RM240 setahun untuk sekolah menengah.
Oleh itu, pihaknya telah memohon budi bicara pihak Jabatan Pendidikan Negeri untuk meneliti semula perkara ini.
Beliau juga menegaskan bahawa dokumen sementara ini bukan lah dokumen kewarganegaraan dan tidak memberi taraf kerakyatan Malaysia kepada pemegang nya.
“Bagaimanapun, dokumen ini bukan jaminan Kerajaan Sarawak untuk individu terbabit mendapatkan taraf kerakyatan Malaysia.
“Ini kerana kuasa mutlak bagi meluluskan permohonan mendapatkan taraf kewarganegaraan adalah hak kerajaan persekutuan,” tegasnya
Borang permohonan ini boleh diperoleh di pejabat daerah pada Disember 2022. – TVS