MIRI, 2 Okt : Sebanyak 6,800 kampit beras berjaya dikumpulkan menerusi inisiatif oleh Jawatankuasa Persatuan Penganut Dewan Some Shak Lung dan penduduk bandar raya ini untuk diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, usaha berkenaan merupakan bukti sikap toleransi yang sinomin dengan rakyat negeri ini.
“Barangan bantuan yang dikumpul untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di Tokong Hai Long merupakan bukti perpaduan di Sarawak dan sikap tolong menolong tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Jabatan Premier Sarawak dan Pengagihan Beras di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 1 (Pelancongan) Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Pengarah UNIFOR, Richard Lon.
Mengulas lanjut, Kim Shin yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berharap agar rakyat negeri ini tidak terpengaruh dengan fahaman melampau yang boleh menggugat keamanan.
Pada masa yang sama juga, beliau berharap agar rakyat Sarawak terus berusaha untuk mencapai hasrat menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Mudah-mudahan kita dapat mencapai aspirasi yang ditetapkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,”katanya. -TVS