LIMBANG, 2 Okt : Karnival Usahawan Desa di sini berjaya mencatatkan kutipan jualan hampir RM1.1 juta sepanjang dua hari setengah penganjurannya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah itu termasuk jualan tunai, tempahan dan jaringan perniagaan.
Kata beliau, jualan tunai mencatatkan kutipan lebih RM400,000.
“Penganjuran acara yang dikenali sebagai KUD@Limbang ini turut merekodkan jaringan perniagaan yang mencecah RM1.1 juta.
“Selain itu, jumlah pengunjung yang hadir juga mencecah 30 000 ribu orang sekaligus mengatasi sasaran awal seramai 15,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penangguhan KUD@Limbang 2022 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Dato’ Raja Reza Raja Zaib Shah.
Program itu yang bermula pada 30 September lepas menyaksikan penglibatan 100 usahawan tempatan yang mendapat bimbingan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). – TVS