LIMBANG, 2 Okt : Benar kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Itulah yang dilakukan oleh Fatiyah Julaiher yang mencabar diri dengan mengusahakan perniagaan ais krim di Lawas.
Selepas hampir lima tahun, perniagaannya terus berkembang malah turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Katanya, jenama Fatiyah Ice Cream bermula dengan modal RM1,000 sahaja.
“Saya memilih untuk mengeluarkan ais krim jenama sendiri kerana perniagaan ini mudah untuk diuruskan selain tidak memerlukan belanja yang besar,”katanya kepada TVS.
Fatiyah merupakan salah seorang usahawan yang menyertai Karnival Usahawan Desa (KUD@Limbang) 2022 yang bermula sejak Jumaat lepas selama tiga hari.
Katanya, ais krim yang dikeluarkan oleh syarikatnya kini turut ditempah oleh pelbagai pihak dan disajikan pada majlis keraian.
Ditanya perancangan masa depan, Fatiyah berkata, dia berhasrat untuk membuka francais di seluruh Sarawak.
”Pada mulanya saya hanya memasarkan ais krim kole ini di sekitar Lawas sahaja namun lama kelamaan ianya turut digemari oleh masyarakat luar,”katanya.
Sepanjang menjalankan perniagaan, Fatiyah mengakui dia juga pernah menerima bantuan termasuklah oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
”Menerusi bantuan itu , saya membeli mesin dan peralatan lain untuk mempercepatkan proses pengeluaran produk,” katanya.
Katanya, Limbang kini menjadi ‘sasaran baharu’ untuk terus mengembangkan perniagaannya.
Ditanya mengenai penyertaannya pada KUD@Limbang, Fatiyah berkata, acara ini menjadi platform terbaik untuk mempromosikan produknya selain membuka jaringan perniagaan hingga ke luar kawasan.
Fatiyah yang mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan berharap agar ais krimnya kelak mampu setanding dengan jenama lain di pasaran. – TVS