KUCHING, 1 Okt : Lapan penyelam yang dikhuatiri hilang di perairan Miri ditemui selamat menerusi pengesanan isyarat kecemasan Personal Locator Beacon (PLB) yang dibawa salah seorang penyelam berkenaan.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching menerima panggilan kecemasan daripada Malaysia Mission Control Centre (MYMCC), Kuantan pada pukul 1.50 petang semalam yang memaklumkan kejadian itu.
“MYMCC memaklumkan telah mengesan isyarat kecemasan melalui PLB yang dibawa oleh salah seorang penyelam di kedudukan 13 batu nautika barat daya Miri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
MRSC Kuching mengaktifkan operasi CARILAMAT pada pukul 2.15 petang semalam katanya.
Menurut Zin Azman, berdasarkan maklumat yang diterima, MRSC Kuching telah menghubungi pemilik PLB untuk mendapatkan pengesahan dan dimaklumkan sebuah bot iaitu COCO 2 telah ke laut pada pukul 8 pagi semalam yang dikendalikan oleh seorang tekong bot bersama lapan orang penyelam.
“Tekong bot dihubungi pada petang semalam dan dimaklumkan lapan penyelam terbabit masih belum ditemui.
“Pemilik PLB itu turut mengesahkan isyarat kecemasan tersebut berpunca daripada PLB miliknya yang dipinjam oleh salah seorang penyelam dan aduan telah dilaporkan kepada MRSC Kuching untuk tindakan lanjut,” katanya,
MRSC Kuching telah menggerakkan dua bot ke lokasi kejadian dan menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Marina Bay, Miri.
Pada pukul 5.06 petang semalam, MRSC Kuching menemui enam mangsa dalam keadaan selamat dan selang beberapa minit, mereka menemui dua lagi penyelam.
Kedua-dua lokasi penemuan itu berada dalam lingkungan empat batu nautika dari lokasi isyarat kecemasan PLB dikesan.
Kesemua mangsa dibawa ke Jeti Marina Bay untuk pemeriksaan lanjut.
Kesemua lapan penyelam terdiri daripada enam rakyat Malaysia dan dua warganegara China yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun. -TVS