KUCHING, 29 Sept: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyokong cadangan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Dato Adnan Mat yang mahu pemberian bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada penjawat awam dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini.
Presidennya, Kullin Djayang berkata, pemberian bonus itu wajar kerana mengambil kira perkhidmatan terbaik diberikan penjawat awam memandangkan sudah begitu lama penjawat awam tidak diberikan bonus.
“Kami faham memang ia akan melibatkan jumlah kewangan yang besar, namun kerajaan harus bersimpati dengan penjawat awam yang merupakan nadi utama kerajaan meskipun kerajaan bergelut dengan politik.
“Bonus sebulan gaji para pendidik boleh dibayar dalam beberapa fasa berdasarkan kemampuan kerajaan, namun jumlahnya tetap sebulan gaji kerana selama ini para pendidik hanya mendapat Bantuan Khas Kewangan (BKK) sahaja.
“Pemberian bonus ini sedikit sebanyak adalah sebagai pembakar semangat agar para pendidik akan terus berusaha memartabatkan kualiti pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap agar kerajaan akan menyediakan peruntukan lebih untuk kemudahan asas dan kemudahan belajar bagi beberapa sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak yang masih dalam keadaan daif.
“Rangkaian internet yang yang stabil juga amat diperlukan kerana ini akan memberi impak besar dalam dunia pendidkan,” tambahnya lagi.
Pada masa sama, STU mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa mengambil berat tentang kebajikan penjawat awam.
“Selagi kerajaan telus dan proaktif dalam semua perkara, STU akan sentiasa menyokong dasar dasar kerajaan,” katanya. -TVS