LIMBANG, 28 Sept : Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Hasbi Habibollah menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Limbang agar bersiap siaga menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku hujung tahun ini.
Beliau berkata JPBD perlu bersedia lebih awal bagi memastikan segala persiapan bantuan, keselamatan serta logistik dapat diselaraskan khususnya di kawasan terjejas di Daerah Limbang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang juga menegaskan bahawa bilik gerakan banjir dan bilik operasi banjir perlu diaktifkan awal selain memastikan aset-aset menyelamat diperkemaskan dan fasiliti di pusat pemindahan sementara berfungsi dengan baik.
“JPBD Limbang khususnya, kita sepatutnya sudah mula mengaktifkan bilik gerakan, bilik operasi dan memastikan aset-aset untuk penyelamat dan sebagainya diperkemaskan dan dipastikan ia dalam keadaan yang baik dan berfungsi .
“Sekiranya berlaku pemindahan saya yakin pusat-pusat sudah dipersiapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga agensi-agensi penyelamat, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan agensi-agensi lain seperti tentera dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fasa peralihan monsun akan bermula pertengahan September ini sehingga November dan Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 pula bermula November hingga Mac 2023.
Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember hingga Januari 2023. – TVS