JOHOR BAHARU, 26 Sept: Eksport bagi koko dan produk berasaskan koko negara terus berkembang apabila telah mencecah nilai RM4.4 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, nilai tersebut meningkat sebanyak 11.5 peratus berbanding nilai eksport pada tempoh yang sama pada tahun lepas.
Tambah beliau, peningkatan yang direkodkan itu memberi keyakinan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk meletakkan sasaran eksport komoditi koko sebanyak RM7 billion sehingga Disember tahun ini.
“Kalau kita lihat nilai pada tahun 2021, RM6.8 bilion eksport koko dan produk berasaskan koko dan bagi tahun 2020, RM6.27 bilion iaitu peningkatan sebanyak 9.5 peratus, seterusnya kita lihat tahun 2022 bagi tempoh Januari sehingga Julai nilai eksport kita telah meningkat RM4.4 bilion,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Hab Perdagangan Koko Malaysia di sini, semalam.
Tambah beliau, peningkatan permintaan pasaran eksport bagi koko dan produk hilirannya menjadikan sasaran RM7 bilion pada suku keempat tahun ini mampu dicapai.
Dalam pada itu, Jeck Seng berkata, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) diisytiharkan sebagai Hab Perdagangan Koko Negara.
Kedua-dua lokasi ini mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, tenaga kerja yang mahir serta jaringan domestik yang sangat baik.
Hab perdagangan koko di PTP dan PPG dilengkapi dengan sebuah makmal fasilitasi bagi kemudahan saringan untuk mengesan perosak buah koko dan khidmat verifikasi pematuhan keperluan pengimportan biji koko.
Ia juga bagi memudahkan proses pengimportan biji koko dan membantu dalam menyelesaikan isu kualiti yang boleh menyebabkan penahanan konsainan.
Penubuhan hab itu diasaskan daripada model hab perdagangan koko yang telah beroperasi di luar negara seperti pelabuhan Amsterdam di Netherlands dan pelabuhan Singapura. – TVS