Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto: TVS

Talentcorp perlu diperkasa supaya penubuhannya capai matlamat – Saravanan

JOHOR BAHARU, 26 Sept : Talent Corporation Malaysia Bhd (TALENTCORP) perlu diperkasa bagi memastikan penubuhannya mencapai matlamat asal untuk membawa pulang tenaga kerja termasuk golongan profesional yang berhijrah ke negara lain ekoran tawaran yang lebih baik.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, ini kerana pencapaian TALENTCORP yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang ditubuhkan sejak 2011 itu, dilihat masih belum memuaskan.

Beliau berkata antara cabaran utama yang dihadapi agensi berkenaan bagi mencapai matlamat itu adalah perbezaan nilai mata wang ringgit berbanding negara luar yang dilihat lebih lumayan.

“Apabila mereka tinggalkan negara, kita tiada sebarang maklumat, mereka ke mana berkerja sebagai apa, ada juga apabila mereka sampai ke negara itu, mereka berdaftar dengan duta kita, tetapi kita tidak mendapat banyak maklumat khususnya mereka yang berhijrah ke Singapura.

“Oleh sebab itu kita mulakan TALENTCORP untuk membawa masuk talent (bakat) ke negara kita tetapi dari segi keberkesanan tidak memuaskan, sebagai contoh berkerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia seseorang individu baru dapat gaji RM1,800, RM1,800 tidak boleh hidup di Johor, orang yang sama pergi ke Singapura dapat 2000 dollar Singapura, darab 3.20 (kadar tukaran mata wang), gajinya menjadi hampir RM6 ribu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kepimpinan Dan Pengurusan Kuil Hindu Era Kecemerlangan di Kota Iskandar, Johor Baharu semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani kesan rakyat Malaysia termasuk golongan profesional berhijrah ke luar negara untuk mencari pekerjaan kerana tawaran gaji yang lebih lumayan.

Justeru, beliau menggesa rakyat negara ini untuk mengembalikan kestabilan politik bagi membolehkan usaha pemulihan ekonomi negara berjalan dengan lancar bagi meningkatkan semula nilai mata wang sekali gus menarik masuk lebih banyak pelabur. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan