TAWAU, 23 Sept : Hasrat seorang wanita untuk berjumpa cucunya tidak kesampaian apabila terbunuh selepas dipercayai dipijak oleh seekor gajah liar yang mengamuk di Dumpas, Jalan Merotai-Kalabakan, dekat sini, pagi tadi.
Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi.
Sebelum kejadian, mangsa dikenali sebagai Samsiah Arshad Neruda yang berusia dalam lingkungan 50-an bersama suaminya, Tahir Salleh sedang dalam perjalanan menggunakan motosikal dari Kampung Hidayat, Batu 4, untuk melawat cucu mereka di Kongsi 4, Ladang Kelapa Sawit Cenderamata.
Difahamkan suami mangsa terselamat dalam kejadian itu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Primus Lambut pula mengesahkan pihaknya turut menerima maklumat berkaitan kes amukan gajah liar.
Menurutnya, gajah berkenaan bukan gajah betina bunting yang sebelum ini dilaporkan sesat di Pekan Merotai.
“Ini gajah lain, gajah betina sebelum ini sudah dihalau ke habitatnya.
“Gajah yang ini (dipercayai) menyerang pasangan suami isteri itu tidak memakai kolar,” katanya ketika dihubungi TVS. – TVS