KUCHING, 23 Sept : Pasangan adik – beradik Zulfikar yang mencipta sensasi apabila masing – masing menang pingat emas Muay Thai untuk Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 kelmarin, mahu meneruskan momentum mereka dalam seni pertahanan diri itu.
Muhammad Elias Ghazali Zulkifar,20, berkata, dia tidak boleh berehat ‘panjang’ kerana bakal menyertai Kejohanan Road To One di Stadium Lumpinee, Bangkok, pada 8 Oktober ini.
“Saya akan berehat selama dua hari untuk proses pemulihan.
“Selepas itu, saya akan kembali berlatih sebagai persiapan untuk kejohanan di Thailand,” katanya.
Muhammad Elias Ghazali dan pasukan Muay Thai Sarawak semalam tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) selepas menamatkan perjuangan mereka di Kuala Lumpur.
Dalam pertandingan akhir, Muhammad Elias Ghazali menang kategori 63.5 kilogram (kg) selepas menewaskan atlet Terengganu, Mohd. Fazzatkie Mohd. Zaki.
Pasukan Muay Thai Sarawak menutup kempen SUKMA dengan membawa pulang dua pingat emas dan empat gangsa.
Sementara itu, juara remaja dunia, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar,16, yang menghadiahkan sebutir lagi emas kepada Sarawak menerusi kategori 60 kg masih tidak percaya dia kini bergelar juara SUKMA.
Namun Johan Ghazali berkata, dia sudah menetapkan sasaran baharu dalam kariernya iaitu mampu mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada SUKMA akan datang.
“Sebenarnya ini merupakan kali pertama kali saya menyertai SUKMA dan masih saya tidak percaya dengan kemenangan yang diraih,” katanya.
Muhammad Johan Ghazali meraih emas sensasi apabila menang menerusi pukulan knockout (ko) ke atas peserta Melaka, Wan Muhammad Sabri Wan Zuki.
Sementara itu, empat pingat gangsa yang dimenangi Sarawak ialah menerusi T. Kabilan Jelevan (67kg), Nur Afiqah Musfirah Baharom dan Nur Arifah Mahsunah Baharom (kategori persembahan Muay Thai), Nur Azirah Mohd. Yudi (kategori 54-57 kg) dan Mohamad Hasbullah Mood (42- 45 kg). – TVS