Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan dengan mengesyorkan syarikat milik anak lelakinya bagi menawarkan perkhidmatan bernilai RM8,890, dua tahun lalu. Foto TVS.

Pembantu tadbir dituduh guna kedudukan syor syarikat anak tawar perkhidmatan bernilai RM8,890

BUTTERWORTH, 22 Sept: Seorang pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan dengan mengesyorkan syarikat milik anak lelakinya bagi menawarkan perkhidmatan bernilai RM8,890, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zulkrnin Abdul Rashid, 49, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, pembantu tadbir gred N22 itu didakwa sebagai pegawai badan awam di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai telah menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan.

Perbuatan itu dilakukan dengan mengesyorkan syarikat milik anak sulungnya, Salam Rizqi Maju Enterprise bagi kerja perkhidmatan melalui lima nota minta yang keseluruhannya bernilai RM8,890.

Antaranya adalah bagi perkhidmatan mengambil dan menghantar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubok ke ILP Arumugam Pillai bernilai RM550 dan kerja pembekalan poster COVID-19 (RM950).

Selain itu, ia membabitkan kerja pembekalan peralatan pencegahan dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 bernilai RM4,790, membekalkan makanan dan minuman (RM600) serta membekalkan jata negara dan pemasangan cermin gelap kenderaan jabatan (RM2,000).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ILP Arumugam Pillai di Nibong Tebal dekat sini antara Februari hingga Julai 2020.

Mohd. Zulkrnin didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada tiga cahaya mata itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim membenarkan tertuduh yang kini ditukarkan perkhidmatan ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk diikat jamin RM8,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula pada 21 Oktober depan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan