KOTA SAMARAHAN, 21 Sept : Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan pimpinan beliau komited untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Premier Sarawak itu berkata, ini termasuk polisi pentadbiran kerajaan negeri yang memberikan perhatian kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urusan (ESG) melalui cadangan perlaksanaan teknologi hijau dan sumber tenaga baharu.
Tambah beliau, ianya juga selaras dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 yang memberikan penekanan terhadap kelestarian alam sekitar.
“Kita berbangga untuk menyatakan bahawa Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia yang telah menguatkuasakan undang-undang dan permit aktiviti berkaitan karbon dan penjualannya.
“Ini adalah bukti usaha dilakukan Kerajaan Sarawak untuk membendung perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan dan Malam Gala Persidangan AsiaFlux 2022 di Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI), malam tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi AsiaFlux 2022, Dr Lulie Melling serta delegasi dari 20 negara yang dijemput.
Antara negara berkenaan termasuklah China, Estonia, Hong Kong, Jerman, Indonesia, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Malaysia.
Persidangan ini mengumpulkan pengkaji dari seluruh dunia untuk berkongsi ilmu mengenai teknologi hijau dan membincangkan isu perubahan iklim serta alternatif dalam teknologi dan sumber tenaga baharu.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan beliau serta rakyat negeri ini komited dalam meletakkan satu standard untuk mencapai matlamat SDG.
“Beberapa siri penyelidikan dilakukan oleh kerajaan negeri untuk mengenal pasti tahap fluks karbon di udara, jika (fluks karbon) berlebihan, ianya boleh menyebabkan perubahan iklim,”katanya.
Kata beliau, Sarawak telah membangunkan tiga menara Eddy Covariance di Ladang Kelapa Sawit Naman di Sibu, Ladang Cermat Ceria dan Taman Negara Maludam di Betong sejak 10 tahun lalu untuk mendapatkan data fluks karbon di kawasan tanah gambut menggunakan kaedah Eddy Flux bersama Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI).
“Data yang diperolehi oleh TROPI penting kepada Sarawak untuk menetapkan perbelanjaan yang diperlukan untuk menghasilkan global greenhouse gas (GHG) untuk mencapai Perjanjian Paris bagi menghasilkan negeri rendah pengeluaran karbon menjelang 2050 atau lebih awal dari itu,” katanya. -TVS