KUALA KANGSAR, 19 Sept : Seorang pemandu maut selepas tercampak keluar dari sebuah lori dengan muatan sampah yang terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 257 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara selepas Terowong Menora dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, mangsa berusia 52 tahun yang beralamat di Klang, Selangor itu meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian berlaku apabila lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menuju ke arah utara.
Katanya, lori yang membawa muatan kotak terpakai itu dikatakan terbabas sehingga melanggar besi penghadang pada sebelah kiri bahu jalan.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan dan terjatuh di lorong kiri.
“Ia menyebabkan mangsa cedera parah pada kepala dan maut di tempat kejadian,” ujarnya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini bagi urusan bedah siasat.
Operasi mengeluarkan mayat mangsa dilakukan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan (BBP) Meru Raya. – TVS