Persembahan kebudayaan yang menjadi sebahagian pengisian sambutan tersebut menampilkan kekayaan budaya dan warisan penduduk Bintulu yang merangkumi etnik Iban, Orang Ulu, Melanau, Cina, Melayu, Bidayuh, Kadayan dan Vaie.
Sambutan tersebut yang bermula pada 7.30 malam 16 Sept ini, bakal diserikan lagi dengan persembahan artis tempatan seperti Datuk M. Nasir, Andi Bernadee, Ramles Walter, Florence Lo, Claudia Geres, Safar Ghafar, Sazia Selir dan Max Kueh.
Seperti kebiasaan, acara rasmi sambutan adalah upacara menaikkan Jalur Gemilang selain pertunjukan bunga api sebagai penutup.
Turut hadir meninjau persiapan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan perayaan tersebut Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Bintulu menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini dan dianggarkan seramai 5,000 jemputan akan memeriahkan acara itu.
Tetamu kehormat terdiri daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Orang ramai juga boleh menyaksikan sambutan itu menerusi siaran langsung di TVS saluran 122 Astro dan myFreeview serta di Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) serta saluran Youtube UKAS. -TVS