KUCHING, 13 Sept: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini untuk menghadiri mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS malam ini.
Ketibaan Abang Johari pada pukul 8 malam tadi disambut oleh Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Ketua Penerangan GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Antara pemimpin GPS yang hadir termasuk Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Dr. Sim Kui Hian dan Timbalannya, Datuk Seri Richard Riot, selain Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.
Turut hadir Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum.
Mesyuarat malam ini dijangka akan membincangkan persediaan GPS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) serta beberapa perkara berbangkit lain. – TVS.