Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lima ahli Geng Pendang, yang pecah rumah di Pulau Pinang, akhirnya tersungkur di Kedah. Foto: TVS

Lima ahli Geng Pendang pecah rumah di Pulau Pinang, tersungkur di Kedah

KEPALA BATAS, 13 Sept : Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini selepas lima ahli Geng Pendang ditahan di sekitar Kedah pada Sabtu lalu.

Suspek-suspek berusia antara 29 hingga 39 tahun itu ditahan secara berasingan dalam Op Pintu oleh Pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU di Pendang, Sungai Petani, dan Alor Setar.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, berkata pihaknya memburu suspek selepas menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah di Taman Sungai Dua Utama di sini sehari sebelum tangkapan dibuat.

Beliau berkata, ekoran penahanan ahli kumpulan tersebut, pihaknya berjaya menemukan beberapa barangan yang dipercayai hasil kegiatan mereka.

“Antaranya adalah beg tangan, telefon pintar, matawang Thailand, dan wang tunai RM300 bersama sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang digunakan suspek bagi melakukan kegiatan itu.

“Selain itu, kita turut menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan pemilik kedai emas di Alor Setar, dipercayai pembeli barang kemas yang dicuri suspek,” kata Mohd Radzi pada sidang media di IPD SPU di sini pada hari ini.

Mohd Radzi menambah, siasatan mendapati suspek aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sejak awal tahun ini, yang membabitkan lima kes yang dilaporkan di daerah ini.

Menurutnya, kesemua suspek, yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, direman selama lima hari hingga 15 September depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan