Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Awang Tengah (kiri) melihat bahan keperluan yang dijual di Aiman Mart, disaksikan oleh Samat Othman (baju gelap) dan Zetty Fazilla Mohammad (membelakangi kamera). Foto: TVS

Perusahaan kecil ‘tulang belakang’ ekonomi Sarawak – Awang Tengah

KUCHING, 13 Sept : Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyeru kepada rakyat Sarawak untuk memanfaatkan peluang perniagaan yang disediakan oleh kerajaan negeri, dan melibatkan diri dalam sektor perusahaan kecil.

Beliau menambah, pelbagai pakej bantuan dihulurkan oleh kerajaan negeri untuk membantu usahawan kecil dan sederhana.

Antaranya, menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 yang telah berakhir pada Jun lalu, dan BKSS 9.0 yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Ogos lalu.

“Semasa pandemik COVID-19 dahulu, banyak perusahaan kecil terjejas, dan kita bersyukur kerana Premier kita sentiasa prihatin dan menghulurkan bantuan kepada semua pihak.

“Semua pihak kita telah bantu, daripada peniaga kecil, penjaja hingga bot tambang, dan bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM6.7 billion,” kata Awang Tengah.

Beliau menganggap perusahaan kecil di Sarawak sebagai ‘tulang belakang’ kepada pembangunan ekonomi negeri, dan menyeru kepada orang ramai untuk terlibat dalam perusahaan kecil bagi membantu ekonomi tempatan.

“Kebanyakan perusahaan di Sarawak adalah perusahaan kecil dan sederhana. Yang penting, kita jujur, ikhlas dan berusaha.

“Untuk membantu perusahaan kecil, kita menyediakan skim kredit mikro di bawah pakej bantuan BKSS, di mana pinjaman ini tidak dikenakan kadar faedah,” ujarnya.

Awang Tengah berkata demikian pada Majlis Perasmian Aiman Mart di Kubah Ria, Kuching, pada tengah hari tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dr Ripin Lamat, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, Pengarah Urusan Aiman Group of Companies, Samat Othman, dan Pengarah Urusan Aiman Mart, Zetty Fazilla Mohammad

Dalam pada itu, Zetty Fazilla menjelaskan Aiman Mart ditubuhkan untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Selain menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, kami dalam rangka cadangan untuk mendapatkan pembekal bahan keperluan asas dan harian secara pukal bagi membolehkan kami untuk menjual semula pada harga yang jauh lebih murah kepada pembeli,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan